Friday, May 20, 2016

UCAPAN SEKAPUR SIRIH PENGETUA SMITQ HIRA', JERAM


Bismillahirrahmanirrahim. 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillah, syukur kita  panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah rahmatNya, dapat kita, warga Hira sekali lagi melaksanakan Kempen Dana Ramadhan 1437H. Berbeza dengan tahun 1436H, tahun ini selain menetapkan sasaran kutipan iaitu RM 200.000, tahun ini juga kita melibatkan dua rakan kongsi yang utama iaitu Persatuan Ibubapa dan Guru IPH dan Kelab Usahawan Muda Hira’ yang bakal sama-sama menggembleng tenaga bagi menjayakan program Iftar Kubra kita pada tahun ini. Manakala ahli-ahli Jawatan Kuasa Tarbiah secara tradisi menerajui acara ritual ini.

Saya sangat bersyukur kerana Ustaz Zul Ramli bin Razali, yang juga merupakan antara ibubapa yang menghantar anak beliau ke sekolah ini bersetuju untuk menjadi Duta Dana Hira’. Beberapa orang Pemimpin Tempatan juga telah menyatakan komitmen untuk hadir di majlis ini nanti.

Antara objektif kita melaksanakan Kempen Dana Ramadhan sempena Iftar Kubra ini adalah seperti berikut:

1) Menggembleng tenaga yang sedia ada di sekolah baik dari pihak staff, pelajar mahupun ibubapa bagi melonjakkan lagi aktivitisme penjanaan dana.

2) Menyasarkan kutipan sebanyak RM 200,000.00 bagi menampung keperluan pembangunan, kebajikan dan operasi sekolah untuk tahun 2016/17 antaranya:


  • Pembinaan Sengkuwap (awning) dataran Qurtubi
  • Pembinaan Dataran Aspura
  • Pintu Gerbang
  • Keceriaan asrama, bangunan akademik dan surau.
  • Pembinaan Kiosk Kelab Usahawan Muda
  • Tabung Kebajikan

3) Menyebarkan seluas-luasnya maklumat berkenaan peluang pelaburan/infaq akhirat kepada orang awam sepanjang tempoh kempen berkenaan. 

Kita amat bersyukur hingga hari ini, Hira’ telah lebih 30 tahun di persada pendidikan Islam. Sejak dari hari pertama sekolah ini ditubuhkan, ia telah beroperasi berkat derma dan wakaf orang ramai sehingga kini. Terima kasih kepada para dermawan sejak dari dulu hingga sekarang dan akan datang.

Bagi merealisasikan hasrat perkongsian maklumat berinfaq ini, maka beberapa saluran pemasaran telah  dimanfaatkan sebaiknya iaitu melalui media sosial, majalah dan surat khabar. Kita telah mengeluarkan lebih RM 10,000 bagi menampung kos promosi ini . Jika kempen tahun ini berjaya, Insya Allah pada tahun 2017 nanti radio dan TV juga akan cuba dimanfaatkan.

Sehingga ucapan alu-aluan ini ditulis, kami telah menerima sebidang tanah sebagai wakaf dari seorang Ibu yang dermawan buat bekalan beliau di sana nanti, terima kasih Ibu. Semoga kedermawanan Ibu menyuntik semangat kepada ramai orang untuk menyalurkan sumbangan kepada Dana Hira’.

Akhir kata, marilah kita sama-sama berpadu tenaga dan bertawakal kepada Allah, seterusnya meningkatkan keikhlasan kita dalam beramal. Mari kita menyalurkan bantuan, atau membantu orang sekeliling kita menyalurkan bantuan kepada Hira’ yang setakat ini telah lebih 30 tahun mempertahankan harta-harta wakaf ini, sebagai manfaat kepada pewakafnya.

Sekian dahulu. Semoga impian ini terlaksana. 

“Ingat infaq, ingat Hira’”.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.